PENGUMUMAN PENTING!! JANGAN TERLEPAS PELUANG!!!

June 25, 2009

KENYATAAN MEDIA

Y.B. RODZIAH ISMAIL

EXCO HAL EHWAL WANITA, KEBAJIKAN, SAINS TEKNOLOGI & INOVASI, KEBUDAYAAN

KERAJAAN NEGERI SELANGOR

23 JUN 2009

SHAHRIZAT MENGAKUI SUKAR, TAPI KERAJAAN SELANGOR TELAH MELAKSANAKANNYA

Shahrizat Abdul Jalil di dalam ucapan beliau dalam laman web The Nut Graph yang mendabik dada sebagai pencetus idea dasar kuota minimum 30% wanita dalam kedudukan pimpinan itu sewajarnya telah lama menerajui kejayaan menempatkan pembangunan wanita dalam proses membuat keputusan di berbagai peringkat, khususnya di peringkat jamaah Menteri, kepada tahap yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu membuat pengakuan bahawa dasar sekurang-kurangnya 30% wanita menduduki jawatan di setiap peringkat membuat keputusan dalam kerajaan sukar dilaksanakan. Pada masa yang sama menunjukkan pimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor telah pun berjaya membuktikan dasar ini dapat dilaksanakan tanpa sebarang kekangan walaupun baru diberikan mandat sebagai pemimpin kerajaan negeri. Fenomena itu jelas menunjukkan ketiadaan kepekaan gender di kalangan pemimpin dan pengikut UMNO-BN untuk mendapatkan sokongan yang amat diperlukan dalam memberi keadilan kepada wanita dari sudut memenuhi kuota 30% tersebut. Beliau yang juga Ketua Wanita Umno menyebut fenomena yang sama berlaku dalam parti UMNO.

Malah pentadbiran UMNO-Barisan Nasional telah gagal mempertahankan jumlah sedia ada apatah lagi menambah bilangan wanita dalam barisan Jemaah Menteri Persekutuan. Kejujuran dan iltizam untuk melaksanakan agenda 30% wanita menduduki jawatan dalam barisan pimpinan negara ternyata meleset dan menghapus keyakinan bahawa kerajaan UMNO -BN adalah sebuah kerajaan yang gender sensitif.

Jurang komitmen di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor dalam kepekaan gender amatlah ketara. Ini telah pun dibuktikan oleh Kerajaan Selangor yang telah pun berjaya melaksanakan 30% malah lebih gender sensitive dengan pelantikan empat orang wanita (40%) sebagai Ahli Mesyuarat Negeri (EXCO) dan seorang lagi sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri. Keempat-empat EXCO wanita tersebut memegang 10 portfolio dalam Kerajaan Negeri Selangor. Manakala Kabinet Menteri hanya diwakili oleh dua orang wanita (kurang dari 10%) dalam Barisan Menteri yang berjumlah 28 orang.

Kini Shahrizat telah dilantik semula sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat setelah lebih setahun kecundang dalam pilihan raya umum Mac 2008 lalu. Shahrizat semestinya harus menggunakan peluang ini untuk melakukan sesuatu yang signifikan serta-merta, dalam melonjakkan penglibatan dan memberdayakan wanita yang layak dalam kesemua jawatan-jawatan penting Kerajaan Persekutuan. Sudah sampai masanya untuk beliau membuktikan perlaksanaan dasar tersebut dapat dicapai dalam masa terdekat atau Shahrizat meletakkan jawatan sebagai Menteri berkenaan kerana sebenarnya tidak berkemampuan berbuat demikian dan beliau telah gagal.

Y.B. PN RODZIAH ISMAIL

EXCO HAL EHWAL WANITA, KEBAJIKAN, SAINS TEKNOLOGI & INOVASI, KEBUDAYAAN

KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Sumber : Anwar Ibrahim's Notes @ facebook.

No comments: