PENGUMUMAN PENTING!! JANGAN TERLEPAS PELUANG!!!

June 23, 2009

SELANGOR TUBUH JAWATANKUASA BERTINDAK H1N1

SHAH ALAM, 22 Jun - Kerajaan negeri hari ini mengarahkan semua daerah di Selangor menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi menangani penularan wabak Influenza A(H1N1) atau Selsema Babi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr A. Xavier Jayakumar berkata jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam usaha membendung wabak berkenaan daripada terus merebak.

“Pegawai-pegawai daerah akan mengetuai jawatankuasa tindakan ini bagi memberi penerangan kepada penduduk tentang langkah-langkah kesedaran yang perlu diambil”,katanya yang turut meminta penduduk peka dengan setiap garis panduan dan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan berhubung wabak berkenaan.

Dalam perkembangan yang sama, sebanyak tiga kes A(H1N1) telah disah di Selangor membabitkan tiga sekolah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam, dan Sekolah Menengah Damansara Utama di Petaling Jaya.

Menurut Dr Xavier, ketiga-tiga pelajar tersebut kini dikuarantin di hospital manakala rakan-rakan sekelas mereka yang lain diarahkan dikuarantin di rumah.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mewajibkan langkah saringan kepada pelajar-pelajar sekolah terbabit, Xavier berkata pihaknya tidak berhasrat untuk berbuat demikian pada masa ini.

Dr Xavier berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pagi tadi.

Perhimpunan yang dihoskan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan juga Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md Noor.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataannya hari ini telah mengarahkan Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2 ditutup selama seminggu bermula hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata kementerian juga mengeluarkan arahan penutupan satu kelas bermula hari ini kepada tiga lagi sekolah iaitu Sri Cempaka International School di Cheras, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam, dan Sekolah Menengah Damansara Utama di Petaling Jaya.

“Arahan tutup sekolah dan tiga buah kelas itu berkuatkuasa selama satu minggu sejajar dengan langkah yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Untuk Menangani Wabak Selesema Babi atau Influenza A(H1N1)”, katanya.

Sumber : Selangorkini.com

No comments: