PENGUMUMAN PENTING!! JANGAN TERLEPAS PELUANG!!!

June 28, 2009

Wanita Cabang Shah Alam Gerakkan Program Jelajah Jejak Fakir

SHAH ALAM: Program Jelajah Jejak Fakir, Sabtu lalu bersamaan 20hb Jun 2009, telah menyingkap keadaan sebenar penduduk di Shah Alam, apabila Wanita KeADILan Cabang Shah Alam turun ke padang untuk merasai sendiri denyut nadi rakyat secara paling akrab dan mesra.

Lantaran itu, gerakan perubahan ini membolehkan Wanita KeADILan Cabang Shah Alam menyanggah pendapat dan pandangan yang mengatakan bahawa pemimpin politik tidak turun padang dan hanya duduk di kerusi empok, lebih mengumumkan kebaikan dengan menyembunyi keburukan. Terutamanya mereka yang menyatakan bahawa Shah Alam adalah sebagai ibu negeri Selangor, dan bertaraf bandaraya pula, maka semua warganya kecapi nikmat kehidupan terbaik.

Bila media pula menggembar-gemburkan pengumuman pemimpin politik begini, ramai beranggapan bahawa pendudukan di Shah Alam serba-serbi sejahtera, aman, damai, bahagia, dan mewah. Tiada kemiskinan dan tiada fakir, tiada orang yang hidup dalam kesusahan, serta mempunyai keperluan asas mencukupi.

Tetapi, anggapan dan tanggapan itu meleset sama sekali.


Walaupun di usia emas, Hj Haris menggalas tanggungjawab menjaga isteri beliau yang mengalami penyakit strok. Keadaan kehidupan mereka amat sukar digambarkan apabila melihat isteri beliau yang hanya mampu terlantar di atas katil. Menurut Hj Haris, isterinya langsung tidak boleh bangun, hanya boleh meminum susu tertentu dan menggunakan tiub untuk makan.

Tambah Haji Haris lagi, isterinya tidak mampu menguruskan diri sendiri dan menyebabkan beliau rela menguruskan segalanya. Beliau jugalah yang menyuap makanan melalui tiub, menukar lampin pakai buang, memberi ubat serta menyuntik insulin untuk penyakit diabetes isterinya.Beliau yang berusia 70 tahun, tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan. Beliau hanya mampu berdoa dan berharap agar sentiasa berada dalam keadaan sihat untuk menguruskan isteri yang terlantar itu.

Rumah pasangan warga emas, keluarga Hj Haris yang beralamat di No. 32, Jalan Batek 10/6, Seksyen 10, Shah Alam adalah rumah pertama yang telah dikunjungi Wanita KeADILan Cabang Shah Alam ketika lawatan dari rumah ke rumah.

Program Jejak Fakir oleh Pusat Zakat Selangor telah menyentuh keprihatinan Wanita KeADILan lalu menjadi sukarelawan supaya dapat dikenal pasti orang-orang susah, dan mendaftarkan fakir miskin mengikut kawasan di serata Shah Alam. Seramai 9 orang AJK Wanita KeADILan Cabang Shah Alam mengambil bahagian, diketuai Dr. Daroyah Mohd Alwi.

Dengan penuh insaf, Wanita Parti Keadilan Rakyat Cabang Shah Alam akan terus sentiasa mengambil berat permasalahan penduduk sekitar Shah Alam. Di samping itu tetap peka dan peduli perihal keadaan sekitar di bandaraya ini.

Wanita Cabang Shah Alam Teruskan Program Jelajah Jejak Fakir


Dengan rasa prihatin Wanita Keadilan melawat ke Seksyen 24. Rumah Puan Norizan pula disinggahi. Beliau pesakit diabetes. Kaki kirinya telah dipotong hingga ke paras peha. Manakala kaki kanannya pula dipotong di paras bukulali. Beliau memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Suami beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menyara keluarga termasuk anak yang masih bersekolah. Sewaktu kami sampai, rumah beliau kegelapan kerana tiada bekalan elektrik.



Usaha murni ini berterusan, bila Wanita Cabang Shah Alam singgah di rumah Puan Salmah Osman – 54 tahun, di alamat 305-Blok 3 Jalan 18/47,Shah Alam. Beliau telah terlantar sejak 3 bulan lepas. Di samping keadaannya itu, beliau juga mempunyai seorang anak berusia 17 tahun, yang mengidap Sindrom Down.

Dirasakan mereka adalah di antara ramai lagi penduduk di Shah Alam yang perlukan peduli kita semua khususnya pemimpin yang prihatin. Lawatan kami kali ini turut disertai oleh ADUN Kota Anggerik, YB Yaakob Sapari.



Dengan kegigihan yang tidak luntur, malah semakin subur, di sebelah petang, kami terus ke Seksyen 16, Shah Alam. Di sini kami melawat seorang warga emas yang berusia 90 tahun. Beliau tinggal bersama-sama anak dan menantunya yang juga boleh disenaraikan dalam golongan warga emas. Kehidupan mereka amat sempit tetapi nampak bahagia.




Kunjungan kami disemarakkan lagi dengan rasa sayu dan penuh bertanggungjawab terhadap masyarakat sebegini. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sedikit sumbangan dari YB Yaakob Sapari yang berupa wang tunai dan kerusi roda telah diberikan kepada mereka yang terlibat. Bagi pihak Wanita KeADILan pula kami telah menyumbangkan sedikit buah tangan berupa beras dan barang keperluan dapur.

Semoga dengan kehadiran kami dapat sedikit sebanyak membantu keluarga terlibat. Usaha ini melalui Program Jelajah Jejak Fakir, InsyaAllah, akan diteruskan lagi dalam masa terdekat. Terutama menjelang Ramadhan dan Syawal yang semakin hampir.

No comments: