PENGUMUMAN PENTING!! JANGAN TERLEPAS PELUANG!!!

June 15, 2009

Lawatan Kemasyarakatan WANITA Prihatin 2

Subang, Selangor, 17.05.2009 - Srikandi; Wanita Cabang Shah Alam, melawat ke rumah orang sakit dan keluarga susah. Lawatan ini turut disertai oleh Pn. Rohani selaku Ketua Wanita Subang.

Rumah pertama yang kami lawati, terasa amat syahdu di hati bila melihat keadaan Adik Bariq yang terlantar lumpuh seluruh badan akibat kemalangan jalan raya 2 bulan lepas. Bariq, 15 tahun adalah anak sulung daripada 7 orang adik beradik. Di kala rakan-rakan seusianya sedang sibuk mengkaji pelajaran untuk menghadapi PMR, Bariq pula hampir setiap minggu terpaksa diusung oleh ibunya berulang alik ke Hospital Sungai Buluh bagi rawatan susulan dan fisioterapi.


Puan Noraishah, ibu kepada Bariq adalah merupakan seorang ibu tunggal dan tidak berpendapatan tetap. Bagi seorang ibu tunggal yang hanya mampu bergantung kepada ikhsan dari keluarga terdekat dan penduduk kampung, keperitan hidupnya dapat kami rasai. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Betapa cekalnya hati seorang ibu dalam menguruskan Bariq disamping membesarkan anak-anakya yang lain.


Ini rumah kedua yang kami lawat, rumah En. Lop Khazali - 48 tahun, beliau menderita akibat sakit buah pinggang. Sebelum ini beliau bekerja di sebuah syarikat swasta di Shah Alam, namun kini tidak lagi bekerja dan tidak dapat menyara keluarga sepenuhnya. Isterinya, Puan Saniah begitu tabah dalam menguruskan tiga orang anak-anak yang masih bersekolah disamping menguruskan suami yang terlantar sakit. Punca pendapatan mereka bergantung kepada dua orang anaknya yang sudah bekerja. Pun begitu, terlintas juga difikiran Puan Saniah untuk tidak membebankan anak-anaknya yang hanya berpendapatan sederhana dan juga mempunyai kehidupan sendiri.



En Lop masih memerlukan rawatan dialisis untuk menyingkirkan lebihan air dalam badan sekurang-kurangnya dua kali sebulan di hospital. Antara faktor utama kebimbangan dan kekusutan di hati mereka adalah di sebabkan kos rawatan dan ubatan yang tinggi yang hampir menelan belanja hampir RM500.00 sebulan. Dikesempatan ini juga kami cuba membantu sekadar mampu dengan cuba mendapatkan bantuan dari pihak-pihak berwajib.


Kemudian kami ke rumah yang ketiga, En Wan Sahap Wan Abdullah - seorang perantau dari Kelantan dan telah hampir 20 tahun menetap di Selangor. Beliau adalah seorang makenik bengkel yang berpendapatan sederhana dan mempunyai 8 orang anak. Isterinya adalah surirumah sepenuh masa.

Perjalanan kehidupan mereka amat terbatas memandangkan empat anaknya yang berusia antara 19 tahun ke 17 tahun tidak lagi bersekolah. Mereka juga masih belum mendapat pekerjaan tetap. Walaubagaimanapun, empat anaknya lagi masih bersekolah dan masih memerlukan perhatian dan peruntukkan dari segi kewangan. Anak bongsu mereka baru berumur 2 tahun.


Berlainan kisahnya di rumah yang keempat ini, Allah (S.W.T) maha mengetahui setiap sesuatu kejadian yang dikehendakinya. Kepiluan di hati seorang ibu tidak dapat kami gambarkan, apabila diberitakan bahawa anak yang dilahirkan enam bulan lalu adalah anak istimewa. Walaupun masih awal untuk menunjukkan ciri-ciri insan istimewa, Puan Rosnah akur dengan ketentuan ilahi. Firus Amsyar anak ke 8 dari keluarga ini telah dikhabarkan oleh pihak hospital adalah anak istimewa sindrom down dan juga mengalami kompilasi jantung berlubang.



Akhirnya kami ke rumah yang kelima, Di sini kami temui Puan Misnah-45 tahun, yang merupakan ibu tinggal kepada tiga anak. Kesemua anaknya masih lagi bersekolah. Punca pendapatan beliau adalah dari hasil menjual kuih muih di sekitar kampung.

Kami amat kagum diatas kegigihan beliau. Senyuman dan kecerianya menggambarkan seolah-olah beliau tiada masalah berat yang harus dipikul. Namun, luka dihatinya serta penderitaan hidupnya.... hanya tuhan yang tahu.

Sedikit sumbangan kepada semua keluarga yang dilawat telah disampaikan oleh Puan Anizan Othman, mewakili Wanita KeADILan Cabang Shah Alam. Keluarga yang dilawat pula mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh seluruh warga Wanita KeADILan. Semoga dengan kehadiran kami dapatlah sedikit sebanyak meringgankan bebanan dan memberi sinar harapan kepada mereka.