PENGUMUMAN PENTING!! JANGAN TERLEPAS PELUANG!!!

August 26, 2009

Srikandi Menyingkap Sinar Ramadhan Bersama Masyarakat Hulu Langat

HULU LANGAT – 02 Ramadhan 1430H - Kita terkadang alpa, di dalam isi perut bumi yang diseliputi keindahan alam semulajadi, sememangnya masih ada nadi-nadi yang harus terus berdenyut. Walaupun bumi ini milik tuhan nan abadi, namun ada kala nikmatnya amat sukar untuk dikecapi.



Menyelami realiti kehidupan masyarakat kampung, dalam pembangunan sebuah negeri kaya dan maju, ada kalanya hati ini terdetik bertanyakan apakah masih ada di antara mereka yang merintih kesempitan disebalik kekayaan alam semulajadi milik tuhan yang maha esa?.



Mungkin juga ada yang sukar untuk menghela nafas lega, melepaskan kerahan keringat seketika demi menikmati kesempurnaan hidup seperti insan lain?. Kenyataanya, kami akur dengan keluh kesah mereka. Bak kata pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang .



Srikandi Keadilan Selangor menyelami erti Ramadhan sebenar bersama golongan sasar iaitu keluarga miskin, warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya di Kg Pak Cak & Kampung Perdek, Hulu Langat Selangor.



Berbekalkan sumbangan dari hamba Allah yang sudi menyempurnakan niat murni untuk menderma demi hubungan manusia sesama manusia, sandaran kepercayaan dan harapan beliau harus kami galas dengan penuh semangat untuk merealisasikanya.

Sejumlah 40 kampit beras dan kurma telah dibekalkan untuk diagihkan. Ianya bertujuan menzahirkan rasa simpati dan prihatin terhadap keluarga yang terlibat agar dapat meringgankan bebanan dan mungkin juga dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mereka menyambut Ramadhan kali ini.

Bekalan diagihkan mengikut bancian yang telah dibuat oleh wakil kami Puan Sariwati di Kg Pak Cak. Manakala di Kg Perdek pula, maklumat berkenaan keluarga susah telah diperolehi hasil kerjasama yang telah diberikan oleh ketua kampung di situ. Rata-rata yang mendapat sumbangan adalah mereka yang tergolong daripada golongan yang benar-benar memerlukan.


Seharian kami di Hulu Langat, kami dapati rata-rata penduduk masih kabur berkenaan usaha kerajaan negeri dalam merakyatkan ekonomi negeri Selangor. Selain dari menerangkan berkenaan skim-skim yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri , kami juga tidak terlepas diajukan dengan soalan popular berkenaan agihan zakat kepada golongan asnaf, orang kurang upaya dan mereka yang memerlukan.

Mengulas tentang pandangan Puan Anizan Othman, selaku Ketua Srikandi, semoleknya ketua kampung atau wakil penduduk yang telah dilantik dan diberi kepercayaan oleh penduduk kampung seharusnya memainkan peranan penting dalam merakyatkan informasi berkenaan hal ehwal kebajikan dan masyarakat setempat. Wakil penduduk harus lebih prihatin dalam menentukan setiap pandangan tidak mempengaruhi keputusan agar dapat membezakan kehendak dan tuntutan fitrah kebajikan masyarakat. Dalam erti kata lain tidak berat sebelah atau tidak pilih kasih.


Tidak semudah yang disangka, menjalankan aktiviti sosial dan kebajikan sebegini juga ada onak dan dugaan yang harus kami tempuhi. Rintangan bukan sahaja dari sudut fizikal, namun mental juga harus dimantapkan kerana tidak semua perkara baik yang kita lakukan akan diterima baik oleh masyarakat.

Keadilan yang kami perjuangkan bukanlah untuk kepentingan diri sendiri, malah kami berusaha untuk semua masyarakat mendapat faedah yang sepatutnya tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Kami juga tidak pernah ambil peduli malah menghormati sekiranya ada diantara mereka mempunyai fahaman parti politik yang berbeza.


Usaha Srikandi menyingkap sinar kemanusiaan tidak terhenti di sini. Kami akan bergerak meneruskan langkah ke Semenyih bagi menyalurkan bantuan sedia ada kepada mereka yang memerlukan.

1 comment:

Gelombang Rakyat said...

Hebatnya tulisan. Kagum!