PENGUMUMAN PENTING!! JANGAN TERLEPAS PELUANG!!!

Showing posts with label Ifariza MARS. Show all posts
Showing posts with label Ifariza MARS. Show all posts

September 30, 2009

Perjuangan Srikandi Melalui Hubungan Kemanusian


SHAH ALAM - Srikandi ketika mendekati masyarakat dalam Program Berkongsi Juadah Ramadhan di Pangsapuri Seksyen 16 Shah Alam terdahulu, sempat menyelami sedikit sebanyak kehidupan tentang penduduk di situ. Rata-rata di antara mereka mempunyai latar belakang yang berbeza.


Bagi masyarakat yang bukan penghuni taman ini mungkin tidak ramai yang mengetahui, dalam beberapa blok bangunan sahaja ada lebih daripada 30 orang anak yatim yang mengharapkan kesempurnaan seperti anak-anak yang mepunyai ibu bapa.


Antara ada atau tidak pihak yang peduli, kehidupan harus mereka teruskan. Perjuangan ibu atau bapa tunggal atau penjaga anak-anak ini tidak pernah luntur untuk membesarkan mereka. Sudah menjadi ketentuan ilahi untuk mereka menjaga amanah Allah di mukabumi ini. Salahkah kita turut sama berkongsi membahagiakan mereka?


Atas nama kemanusiaan dan sifat muamalat yang dituntut antara manusia sesama manusia, Srikandi mengambil inisiatif bagi meraikan anak-anak yatim dalam satu majlis sederhana untuk menyambut hari raya bersama mereka di malam tujuh likur Ramadhan baru-baru ini.

Seramai lebih 30 orang anak-anak yatim telah diraikan dalam satu majlis ringkas. Selain menjamu mereka dengan juadah berbuka puasa, mereka juga telah mendapat sumbangan berupa duit raya. Terpancar kegembiraan dan keceriaan di wajah anak-anak ini buat seketika.


Sungguh sayu dan terharu, terpancar juga sinar keceriaan di hati mereka walaupun seketika. Semoga mereka sentiasa di rahmati dan mendapat kesejahteraan berpanjangan dalam mengharungi liku-liku kehidupan di masa-masa akan datang.

September 11, 2009

Berkongsi Juadah Berbuka Bersama Masyarakat


SHAH ALAM - Srikandi Shah Alam dalam usaha murni membantu wakil rakyat iaitu YB Yaakub Sapari - DUN Kota Anggerik, telah turun ke beberapa kawasan sekitar untuk berkongsi lauk-pauk sebagai juadah untuk berbuka puasa.


Juadah percuma yang disediakan dalam lebih kurang 400 bungkus telah diagihkan kepada masyarakat setempat di beberapa kawasan.

Setakat ini, kawasan yang telah dikunjungi adalah Pangsapuri Seksyen 7, Pangsapuri Seksyen 16, Kg Melayu Subang Tambahan dan Kg Bukit Subang. Kawasan-kawasan ini rata-rata penduduknya adalah terdiri daripada golongan sederhana dan berpendapatan rendah.



Kehadiran kami ke kawasan-kawasan tersebut tidak diwar-warkan terlebih dahulu kerana bertujuan untuk mewujudkan suasana harmoni dan mesra kepada semua masyarakat tanpa mengira status dan latar belakang isi rumah.

Agihan diberikan kepada sesiapa sahaja yang pada masa itu berada disekitar kami ketika aktiviti ini dijalankan.


Di lokasi juga kami turut dibantu oleh wakil-wakil KeAdilan Cabang dan Ranting yang merupakan penduduk di situ.

Mereka amat komited dalam memberi semangat serta dorongan kepada kami sebagai satu pasukan yang mempunyai tujuan yang sama dalam memperjuangankan KeADILan harapan baru untuk Malaysia.

Antara tujuan lain aktiviti ini diadakan adalah untuk mengukuhkan lagi silaturrahim antara masyarakat. Disamping itu juga, kami dapat memperkenalkan kepada masyarakat bahawa salah satu matlamat penubuhan Srikandi KeADILan adalah untuk membantu wakil rakyat dalam agenda yang berkaitan dengan khidmat sosial dan kebajikan.



Sehingga kini, usaha murni kami rata-rata telah disambut baik oleh penduduk setempat. Mereka telah banyak memberi sokongan yang amat memberangsangkan.

Diharapkan agar masyarakat akan lebih memberikan keyakinan untuk kami meneruskan dan memperkasakan aktiviti-aktiviti sebegini pada masa-masa akan datang.


Sokongan masyarakat amat penting untuk kami terus mengorak langkah dan meneruskan perjuangan KeADILan untuk rakyat.

August 26, 2009

Srikandi Menyingkap Sinar Ramadhan Bersama Masyarakat Hulu Langat

HULU LANGAT – 02 Ramadhan 1430H - Kita terkadang alpa, di dalam isi perut bumi yang diseliputi keindahan alam semulajadi, sememangnya masih ada nadi-nadi yang harus terus berdenyut. Walaupun bumi ini milik tuhan nan abadi, namun ada kala nikmatnya amat sukar untuk dikecapi.



Menyelami realiti kehidupan masyarakat kampung, dalam pembangunan sebuah negeri kaya dan maju, ada kalanya hati ini terdetik bertanyakan apakah masih ada di antara mereka yang merintih kesempitan disebalik kekayaan alam semulajadi milik tuhan yang maha esa?.



Mungkin juga ada yang sukar untuk menghela nafas lega, melepaskan kerahan keringat seketika demi menikmati kesempurnaan hidup seperti insan lain?. Kenyataanya, kami akur dengan keluh kesah mereka. Bak kata pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang .



Srikandi Keadilan Selangor menyelami erti Ramadhan sebenar bersama golongan sasar iaitu keluarga miskin, warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya di Kg Pak Cak & Kampung Perdek, Hulu Langat Selangor.



Berbekalkan sumbangan dari hamba Allah yang sudi menyempurnakan niat murni untuk menderma demi hubungan manusia sesama manusia, sandaran kepercayaan dan harapan beliau harus kami galas dengan penuh semangat untuk merealisasikanya.

Sejumlah 40 kampit beras dan kurma telah dibekalkan untuk diagihkan. Ianya bertujuan menzahirkan rasa simpati dan prihatin terhadap keluarga yang terlibat agar dapat meringgankan bebanan dan mungkin juga dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mereka menyambut Ramadhan kali ini.

Bekalan diagihkan mengikut bancian yang telah dibuat oleh wakil kami Puan Sariwati di Kg Pak Cak. Manakala di Kg Perdek pula, maklumat berkenaan keluarga susah telah diperolehi hasil kerjasama yang telah diberikan oleh ketua kampung di situ. Rata-rata yang mendapat sumbangan adalah mereka yang tergolong daripada golongan yang benar-benar memerlukan.


Seharian kami di Hulu Langat, kami dapati rata-rata penduduk masih kabur berkenaan usaha kerajaan negeri dalam merakyatkan ekonomi negeri Selangor. Selain dari menerangkan berkenaan skim-skim yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri , kami juga tidak terlepas diajukan dengan soalan popular berkenaan agihan zakat kepada golongan asnaf, orang kurang upaya dan mereka yang memerlukan.

Mengulas tentang pandangan Puan Anizan Othman, selaku Ketua Srikandi, semoleknya ketua kampung atau wakil penduduk yang telah dilantik dan diberi kepercayaan oleh penduduk kampung seharusnya memainkan peranan penting dalam merakyatkan informasi berkenaan hal ehwal kebajikan dan masyarakat setempat. Wakil penduduk harus lebih prihatin dalam menentukan setiap pandangan tidak mempengaruhi keputusan agar dapat membezakan kehendak dan tuntutan fitrah kebajikan masyarakat. Dalam erti kata lain tidak berat sebelah atau tidak pilih kasih.


Tidak semudah yang disangka, menjalankan aktiviti sosial dan kebajikan sebegini juga ada onak dan dugaan yang harus kami tempuhi. Rintangan bukan sahaja dari sudut fizikal, namun mental juga harus dimantapkan kerana tidak semua perkara baik yang kita lakukan akan diterima baik oleh masyarakat.

Keadilan yang kami perjuangkan bukanlah untuk kepentingan diri sendiri, malah kami berusaha untuk semua masyarakat mendapat faedah yang sepatutnya tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Kami juga tidak pernah ambil peduli malah menghormati sekiranya ada diantara mereka mempunyai fahaman parti politik yang berbeza.


Usaha Srikandi menyingkap sinar kemanusiaan tidak terhenti di sini. Kami akan bergerak meneruskan langkah ke Semenyih bagi menyalurkan bantuan sedia ada kepada mereka yang memerlukan.

August 2, 2009

Pejuang Wanita Antara Ribuan Yang Harus Dihargai

Media arus perdana melaporkan 5,000 orang telah menyertai perhimpunan Mansuhkan ISA semalam. Ada juga media-media baru melaporkan hampir mencecah 20,000, 40,000 malah ada yang melaporkan sehingga 80,000 orang telah menyertainya.



Berapapun jumlah angka yang dianggarkan, ianya bukan perbandingan untuk mengukur kekuatan sokongan rakyat terhadap perhimpunan anti-ISA. Memadai dengan hanya melihat dari atas bangunan tinggi, lautan manusia telah menutupi setiap sudut dan ruang segenap jalan raya dan bangunan-bangunan sekitar . Pergerakkan penyokong anti-ISA semalam boleh diibarat seperti busut yang dimusnahkan menyebabkan kemaraan semut merah dan hitam mencari pembelaan.





Di mana wanita ketika ini? Jika diamati, wanita juga mara untuk turut sama dalam pergerakkan ini. Kenapa mereka sanggup dan memilih untuk berasak-asak di sana? Kenapa mereka memilih untuk dikasari oleh anggota keselamatan negara?, kenapa juga mereka tidak kisah dengan tembakan meriam air dan semburan asap pemedih mata? Kenapa mereka memilih untuk berjalan berkilometer jauhnya sedangkan mereka mempunyai kenderaan sendiri? Apatah lagi sanggup berpanas di bawah terik matahari dan berhimpit sama berpusu-pusu di tempat yang hampir kekurangan udara?.



Usah ditanya kepentingan untuk diri mereka, yang pasti perjuangan mereka adalah untuk satu keadilan. Bergerak bersama dalam membela maruah wanita-wanita yang mungkin suaminya masih dalam tahanan ISA, demi rasa belas kasihan terhadap anak-anak yang hampir tidak pernah lagi melihat wajah ayahnya, juga untuk isteri-isteri yang kehilangan tempat bergantung dan untuk balu yang telah kehilangan kasih sayang tanpa sebab dan alasan.



Ini semua antara punca mereka bersemangat untuk menyuarakan pendapat agar tahanan ISA diadili dengan adil dan saksama melalui proses perundangan biasa. Mungkinkah protes dan pergerakkan ini menunjukkan ada kepincangan dalam sistem pentadbiran dan perundangan negara? Harus bagaimana lagi pandangan dan pendapat rakyat patut disalurkan?



Dari sudut berbeza, terbukti negara kita mempunyai pasukan pertahanan dan keselamatan yang hebat dan terlatih. Pergerakan badan beruniform dalam satu kumpulan yang cekap dengan keanggotaan yang mantap. Tetapi lawannya?, rakyat biasa yang rata-rata mungkin tidak terlatih untuk berperang, ada pula di antaranya kanak-kanak dan kaum hawa, tidak mustahil juga dari golongan yang lemah dan kurang upaya. Begitu sukarnya untuk menyuarakan satu pendapat dalam satu memorandum.





Terfikir sejenak bila ada yang mengatakan,

“Rakyat semua lari tau, malu tau, malu tau lari, Malaysia punya orang pun lari, apa pasal lari? Ini macam boleh jadi ker di Malaysia, cakap satu Malaysia? Macha!! Satu Malaysia ka sini? Apa satu Malaysia?” (Sumber petikan dari rakaman video Malaysiakini –Smoked Out at Sogo)

Dilihat dari sudut bahasa mungkin ianya amat ringkas, tetapi nada kemarahan dan semangat majoriti rakyat dapat menjelaskan segalanya.

July 19, 2009

MOTIVASI PELAJAR, USAHA MURNI UNTUK WARISAN BANGSA


Wanita KeAdilan Shah Alam dengan kerjasama DUN Kota Anggerik, Kordinator Pembangunan Modal Insan dan Masjid Negeri Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), Shah Alam telah mengadakan Program Motivasi Pelajar bersama Saudari Nik Nur Madihah selaku pelajar cemerlang 20A – SPM 2008, di Dewan Solat Utama, Masjid Negeri SAAS, Shah Alam.

Program ini telah dirasmikan dengan jayanya oleh YB Yaakub Sapari (DUN Kota Anggerik). Ianya juga bersempena dengan mengiktiraf secara rasmi Program Tuisyen Rakyat anjuran DUN Kota Anggerik yang telah dibuka kepada semua pelajar yang mana pendapatan isi rumah di bawah RM1500.00 adalah layak memohon. Tusyen Rakyat ini diadakan setiap hari ahad jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari yang juga bertempat di Dewan Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Tujuan program ini diadakan adalah antaranya untuk menggalakkan pelajar yang bakal dan akan menduduki peperiksaan SPM/ PMR dan UPSR untuk lebih berusaha demi mencapai kejayaan. Disamping itu juga, menjadikan Nik Nur Madihah yang berasal dari keluarga yang sederhana kategori pelajar luar bandar, Negeri Kelantan dan anak seorang nelayan ini sebagai ikon tanpa ada had sempadan dan alasan untuk menggapai kejayaan.

Program motivasi ini telah dihadiri oleh seramai lebih 500 orang pelajar dan ibubapa/ penjaga. Ianya merupakan satu usaha murni kearah melahirkan anak bangsa yang cemerlang dari segi akademik dan bermotivasi diri yang tinggi dalam era globalisasi yang semakin menuju arus permodenan.

July 15, 2009

Wanita Shah Alam Bantu Mewarnai Kehidupan Remaja Baitul Islah



Setiap insan dianugerahkan kemahiran dalam kehidupan, antara sedar atau tidak kemahiran kadangkala datang dengan sendiri atau perlu diusaha untuk ditemui.

Wanita KeADILan Shah Alam, yang diketuai oleh Dr. Daroyah dan Puan Zaiton selaku Ketua Biro Kebajikan, telah mengadakan satu program kemahiran membuat biskut untuk menarik minat remaja Baitul Islah yang rata-rata penghuninya adalah berumur 14 hingga 17 tahun dan dikategorikan sebagai remaja bermasalah. Antara biskut yang diajar kepada mereka ialah Almond London, Ice-cream Cookies dan Nestum Marble.



Bukan kehendak mereka untuk terjerumus ke dalam kancah tidak bermoral, tetapi kadang-kala kurangnya pengetahuan dan kemahiran dalam diri juga boleh menjadi salah satu sebab untuk mereka merasa bosan dan sunyi. Mungkin banyak lagi faktor lain yang menyebabkan mereka terus-menerus hilang arah tuju, namun sekiranya kita sebagai ibu bapa dan masyarakat asyik menyalahkan mereka, dimana hendak diletakkan sumbangan mereka kepada negara?.


Inisiatif yang diambil untuk mendekatkan diri kepada mereka adalah usaha membantu Rumah Kebajikan Baitul Islah, Shah Alam dalam memberi sedikit kemahiran kepada remaja-remaja ini agar tidak merasa terasing untuk bermasyarakat apabila mereka keluar dari Baitul Islah kelak. Perjalanan hidup mereka masih panjang. Mereka adalah golongan muda yang masih boleh memberi sumbangan kepada negara.

Semoga dengan program kemahiran ini, mereka akan mendapat sedikit ilmu yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan. Mudah-mudahan ada sesuatu yang akan membuatkan mereka lebih bermakna dan lebih dihargai. Kemahiran ini juga mungkin boleh menjana pendapatan mereka menjelang Aidilfitri nanti. Itulah galakkan dan dorongan yang dapat disumbangkan kepada mereka agar lebih mewarnai kehidupan mereka.

June 30, 2009

Srikandi Galakkan Wanita Muda Sertai Aktiviti Sihat

SHAH ALAM : Sesekali bersantai sambil beriadah, mencuba aktiviti sukan untuk mewarnai kehidupan wanita muda sekitar Shah Alam, telah mengilhamkan Srikandi untuk menganjurkan satu acara sukan kegemaran ramai wanita.

Srikandi dengan kerjasama Wanita KeADILan & Angkatan Muda KeADILan Shah Alam telah menganjurkan Kejohanan Bola Jaring Srikandi Shah Alam. Kejohanan tersebut telah diadakan pada 27.06.2009 yang lalu, bertempat di Dewan MBSA Seksyen 19 Shah Alam.

Pada peringkat promosi, permohonan untuk penyertaan amat menggalakkan menyebabkan Srikandi Shah Alam yang diketuai oleh Pn Anizan Othman, berusaha keras untuk menjadikan kejohanan ini suatu realiti.

Seramai 15 pasukan mengambil bahagian yang melibatkan penyertaan terbuka dari badan kerajaan, syarikat swasta, dan taman-taman perumahan serta penduduk sekitar Shah Alam. Bukan hanya sekadar bersukan tetapi acara sebegini juga dirasakan amat baik untuk merapatkan jurang antara masyarakat, bertukar-tukar pandangan dan bersosial secara sihat. Matlamat asal ianya diadakan adalah untuk menggalakkan wanita muda melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sihat disamping mengurangkan generasi muda terjerumus dalam aktiviti sosial yang kurang sihat.



Sekitar acara sedang berlansung, kami dikejutkan dengan kunjungan Srikandi Pusat yang diketuai oleh Saudari Aisyah selaku Ketua Srikandi Malaysia. Sokongan moral dan dorongan dari peringkat akar umbi ini, menyemarakkan lagi semangat dan amat bermakna untuk sebuah pertubuhan parti politik yang sentiasa berkhidmat untuk masyarakat.

Impian untuk menyaksikan aksi amatur pasukan-pasukan yang bertanding telah menjadi kenyataan apabila pasukan dari Wanita Bomba & Penyelamat (JBPM) telah menjuarai pertandingan dan diikuti oleh pasukan Sinar 2 sebagai naib juara.




Acara berakhir sekitar jam 6 petang dan telah disempurnakan oleh kehadiran YB Yaakob Sapari & isteri, YB Rodziah Ismail serta YB Haniza Talha. Hadiah berupa pingat dan wang tunai telah disampaikan kepada pemenang tempat pertama hingga ketiga. Hadiah cabutan bertuah juga turut disediakan terbuka untuk semua yang hadir.


Walauapapun, kami berterima kasih kepada semua yang menjayakan kejohanan ini. Semangat kesukanan dan profesionalisma dari semua pasukan amatlah dibanggakan kerana nilai-nilai murni yang ditunjukkan adalah kemenangan yang paling bermakna dan merupakan tiket yang paling penting untuk membawa masyarakat kepada kesejahteraan dan kemuafakatan.

June 26, 2009