PENGUMUMAN PENTING!! JANGAN TERLEPAS PELUANG!!!

June 18, 2009

Kerajaan Negeri galak pelaburan dalam Selangor: Teresa


Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan menyelesaikan masalah pelabur di negeri ini dalam usaha memastikan mereka terus kekal menjalankan aktiviti di Selangor.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, kerajaan juga akan berusaha menarik pelabur-pelabur baru ke negeri ini, walaupun dalam keadaan ekonomi yang agak lembab.

Bercakap kepada media selepas merasmikan Seminar Liberisasi dan Kelembapan Ekonomi Global di Petaling Jaya hari ini, beliau berkata langkah itu bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di Selangor.

Seminar anjuran Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) ini disertai lebih seratus pelabur, usahawan dari pelbagai industri, penyelidik serta pegawai dari sektor awam dan swasta.

Teresa berkata, seminar ini antara lain memberi penerangan dan cadangan penyelesaian, berikutan ketidaktentuan pasaran ekonomi yang menjejaskan banyak syarikat besar dan pelabur asing yang bertapak di negeri Selangor.

Beliau turut mengulas tentang kemerosotan jumlah pelaburan asing di Malaysia tahun ini iaitu sebanyak 30 bilion ringgit yang disasarkan oleh Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA), berbanding 60 bilion ringgit yang dicapai tahun lalu.

Selangor adalah antara negeri yang tertinggi mencatat pelaburan bernilai 11.8 billion ringgit tahun lepas dan menjangkakan penurunan kepada 4 billion ringgit tahun ini.

Teresa berkata, dalam keadaan sekarang kerajaan negeri Selangor dan Malaysia menawarkan pelbagai insentif untuk pelabur, khususnya dalam bidang perkhidmatan.

Pengerusi Institusi Kejuruteraan Malaysia, Rocky Wong yang turut membentangkan kertas kerjanya pada seminar itu berkata, masih banyak lagi peluang pelaburan yang boleh diterokai oleh pelabur asing dan tempatan.

Sumber: TVSelangor.com